Saturday 22 October 2016

Assignment EDU 3093 Guru dan Cabaran Semasa

Guru merupakan salah satu profesion yang sering dipandang rendah oleh masyarakat Malaysia. Ini dapat dilihat apabila kebanyakan rakyat Malaysia berfikiran bahawa tugas seorang guru itu sangat mudah dan guru mempunyai banyak cuti berbanding dengan kerjaya yang lain. Persepsi ini adalah salah dan pada masa kini profesion guru telah menjadi salah satu profesion yang banyak terdedah kepada tekanan. Guru-guru terdedah kepada tekanan disebabkan oleh pelbagai faktor dan tekanan terhadap diri seorang guru boleh menyebabkan prestasi pengajaran dan pembelajaran guru tersebut merosot serta lebih banyak kesan sampingan akan mencetus.

            Pertama sekali, saya ingin memfokuskan kepada dua isu dan tiga cabaran semasa yang dihadapi oleh guru-guru sehingga mereka mengalami tekanan serta gangguan emosi. Antara isu-isu yang ingin difokuskan oleh saya ialah isu merotan pelajar serta isu pengurusan masa guru. Manakala cabaran masalah disiplin pelajar, cabaran penggunaan teknologi maklumat serta cabaran beban tugasan guru merupakan tiga cabaran semasa yang dihadapi oleh guru yang ingin saya memfokuskan dalam penulisan ini.

            Guru merupakan pendidik dan guru akan mengenakan denda terhadap pelajar yang melalukan kesalahan supaya pelajar tersebut tidak lagi melakukan kesalahan pada masa yang akan datang. Merotan merupakan salah satu jenis hukuman atau denda yang selalu dikenakan oleh guru terhadap pelajar yang melakukan kesalahan. Pada zaman dahulu, merotan merupakan salah satu kaedah yang digunakan oleh guru untuk mendisiplinkan pelajar tetapi pada masa kini merotan merupakan salah satu tindakan guru yang ditentang oleh ibu bapa sehingga ada sesetengah ibu bapa yang membuat laporan polis kerana anak mereka dirotan oleh guru.


            Perbuatan ibu bapa yang membuat laporan polis kerana anak mereka dirotan oleh guru menyebabkan guru mengalami gangguan emosi dan juga tekanan diri. Secara tidak langsung, laporan polis yang dibuat oleh ibu bapa terhadap guru kerana merotan juga akan merendahkan keyakinan diri guru serta mecemarkan nama guru dalam kalangan masyarakat. Selepas melalui kejadian sebegini, seseorang guru tidak boleh menumpukan perhatian terhadap rutin hariannya di sekolah serta prestasi pengajaran dan pembelajarannya juga akan merosot. Ibu bapa perlu menyiasat dengan teliti sebab anak mereka dirotan sebelum membuat laporan polis. Lazimnya guru hanya akan merotan jika seseorang pelajar itu menimbulkan masalah di dalam kelas ataupun melakukan kesalahan displin.

            Seterusnya, isu pengurusan masa guru juga merupakan salah satu lagi isu yang ingin difokuskan oleh saya dalam penulisan ini. Baru-baru ini tugas guru telah berubah menjadi seorang “multitasker” kerana guru perlu membuat lebih banyak lagi kerja selain daripada mengajar murid-murid. Jadi, untuk menghadapi pembaharuan ini setiap orang guru perlu mempunyai pengurusan masa yang sistematik supaya kualiti kerjayanya tidak merosot serta dapat menghindari diri daripada gangguan emosi. Sebagai contohnya, pada masa kini seseorang guru perlu membuat kerja-kerja kerani, membuat garisan di padang sekolah semasa musim sukan serta perlu mengisi markah pelajar di atas talian bagi setiap latihan yang diberi.

            Lebih-lebih lagi, guru juga merupakan seorang insan yang normal dan guru juga mempunyai kehidupan di luar alam sekolah. Jadi, untuk memastikan tidak tertekan dengan tugasan di sekolah dan juga perkara di luar alam sekolah setiap guru perlu mempunyai pengurusan masa yang cekap dan sistematik. Kemudian, cabaran semasa pertama yang menyebabkan gangguan emosi dalam kalangan guru ialah cabaran masalah disiplin pelajar. Pada zaman ini, disiplin pelajar berada dalam tahap yang agak teruk dan susah untuk dikawal oleh guru. Ini dapat dilihat apabila pelajar tidak lagi takut kepada guru dan ada juga sesetengah pelajar yang berani sehingga

boleh melawan guru dan tidak mematuhi arahan guru. Guru tidak lagi dihormati dan ditakuti oleh pelajar seperti pada suatu masa dahulu. Perkara-perkara sebegini menimbulkan gangguan emosi terhadap guru kerana guru tidak boleh mengawal pelajar dan sesi pengajaran dan pembelajarannya akan terganggu disebabkan oleh pelajar-pelajar yang kurang berdisiplin.

            Selain itu, penggunaan teknologi maklumat juga menjadi salah satu cabaran kepada guru-guru pada zaman ini. Zaman ini ialah zaman multimedia, jadi penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran merupakan satu keperluan asas dan ini menjadi cabaran kepada guru-guru yang tidak mahir dalam penggunaan teknologi maklumat. Kebanyakan guru masih terikat pada teknik pengajaran dan pembelajaran tradisional iaitu menggunakan papan hitam ataupun papan putih untuk mengajar pelajar dan guru-guru sebegini mengalami gangguan emosi jika dinasihati ataupun diwajibkan menggunakan teknologi maklumat dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

            Lebih-lebih lagi, beban tugasan juga merupakan salah satu cabaran semasa yang dihadapi oleh guru-guru. Guru diberi pelbagai tanggungjawab selain daripada menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contohnya, seorang guru perlu menjadi guru kelas, guru panitia, mengurus aktiviti sukan dan sebagainya. Selain itu, guru-guru yang sudah berumahtangga perlu seimbangkan tanggungjawab di rumah dan juga di sekolah. Secara tidak langsung ini menimbulkan tekanan dan gangguan emosi terhadap guru kerana terlalu banyak tanggunjawab yang perlu dipikul.





            Gangguan emosi yang berpanjangan boleh menyebabkan penyakit dalam kalangan guru dan ini boleh menyebabkan prestasi kerjaya guru semakin merosot. Jadi, untuk menyelesaikan masalah gangguan emosi dalam kalangan guru ini beberapa langkah perlu diamalkan. Langkah-langkah untuk menangani gangguan emosi dalam kalangan guru boleh dilihat dalam peta berbuih yang berikut : -

GAMBAR 1 : Peta berbuih yang menunjukkan langkah-langkah untuk menangani
                     gangguan emosi dalam kalangan guru.
PELAN TINDAKAN
           







Natijahnya, gangguan emosi merupakan salah satu perkara yang bahaya bukan sahaja kepada guru tetapi kepada setiap insan yang berada di dunia ini. Jadi, setiap manusia perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat serta membuat perancangan yang baik dalam apa jua perkara yang dibuat supaya dapat mengelakkan gangguan emosi. Selain itu, setiap orang guru perlu melatihkan diri mereka supaya boleh berdepan dengan apa jua situasi supaya dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kepada gangguan emosi.

No comments: